STU sambut baik cadangan Unicef untuk utamakan guru dalam pemberian vaksin Covid-19

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyambut baik cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) untuk mengutamakan pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan guru.

Presidennya Adam Parkash Abdullah berkata, para guru perlu diberi keutamaan dalam pemberian vaksin tersebut selepas barisan hadapan diberikan vaksin Covid-19.

“Guru di setiap institusi pendidikan turut berhadapan dengan situasi yang berbahaya, bukan hanya kepada keluarga tetapi pelajar yang dididik di sekolah.

“Kami juga ingin meluangkan seberapa banyak masa yang mampu bersama dengan pelajar kerana pembelajaran dalam talian banyak menimbulkan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Persidangan Perwakilan Dwitahunan STU Ke-25 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara STU dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak di Hotel Penview, hari ini.

Adam menambah, ibu bapa, pelajar dan guru sudah tidak asing lagi dengan masalah yang dihadapi ketika melaksanakan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian.

“Bagaimanapun, pencapaian yang cemerlang dalam kalangan pelajar tetap menjadi keinginan setiap masyarakat,” jelasnya.

Menurutnya, pembelajaran dalam talian mungkin bukan satu perkara baharu untuk institusi pengajian tinggi (IPT).

“Tetapi untuk sekolah, dengan tiada jaringan internet, tiada kemudahan yang sesuai untuk digunakan dan ada dalam kalangan ibu bapa yang tidak mempunyai gajet seperti telefon bimbit yang ada internet.

“Justeru, saya berharap agar para guru diberikan keutamaan apabila vaksin Covid-19 sudah ada di negara ini dan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif Unicef Henrietta Fore mengesyorkan agar guru diutamakan sebagai penerima vaksin Covid-19.

Katanya, golongan itu perlu diberi keutamaan selepas petugas barisan hadapan dan kumpulan yang berisiko tinggi.

Malah, beliau memberitahu langkah itu dapat memastikan usaha untuk meneruskan pembelajaran kanak-kanak di seluruh dunia.