KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat meneliti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai norma persekolahan sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun akan datang.
Presiden STU, Adam Prakash Abdullah berkata, KPM boleh melihat bagaimana PdPR ini boleh di buat sebagai salah satu kaedah persekolahan di samping hadir secara fiziikal ke sekolah.
Katanya, dengan berbuat sedemikian para guru, murid dan ibubapa akan dapat merancang perjalanan persekolahan dengan lebih berkesan.
Jelas Adam, guru-guru akan dapat merancang PdPR dengan lebih teliti mengambil kira keadaan dan situasi pembelajaran semasa.
Tambahnya lagi, ibu bapa akan mengetahui secara jelas bahawa PdPR adalah proses persekolahan yang digabung dengan sistem bersemuka dengan penjadualan yang tersusun.
“PdPR tidak harus dilaksanakan lagi dengan bergantung kepada berlakunya wabak atau bencana tetapi di buat sebagai satu amalan supaya semua sentiasa bersedia dalam pelbagai situasi.
“Sudah tentu perkara ini perlu dikaji, dirancang dan diperbincangkan dengan semua pemegang taruh sebelum dilaksanakan,” ujarnya.
Justeru kata Adam, masyarakat perlu menerima bahawa transformasi pendidikan bukan sahaja akan berlaku di peringkat kurikulum tetapi pada amalan persekolahan juga akan berlaku perubahan.
Tambahnya, pembelajaran secara maya akan dipergiatkan lagi dan ini semua memerlukan latihan dan infrastruktur yang mantap diperlukan sekiranya kita ingin mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.