Suami isteri dicekup miliki, positif dadah di simpang Jebungan Sarawak

MUKAH: Sepasang suami isteri dicekup pihak polis setelah didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 2.47 gram, sewaktu pemeriksaan dibuat terhadap mereka di jalan simpang Jebungan Sarawak petang semalam.

Hasil ujian awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau berkata pada awalnya suspek lelaki berusia 40 tahun bersama isteri 29 tahun bertindak mencampakkan satu bungkusan ke atas jalan raya bagi mengelak sewaktu pemeriksaan dibuat.

“Namun tindakan mereka gagal apabila kita bersama pengadu di tempat kejadian, memeriksa bungkusan tersebut dan mendapati sebungkus plastik lutsinar mengandungi tujuh straw serbuk kristal yang disyaki dadah Methamphetamine seberat 2.47 gram.

“Pemeriksaan sekitar jam 2.30 petang tersebut disertai sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Mukah, dan berjaya menahan kedua-dua suspek selain merampas bungkusan tersebut sebagai bahan bukti kes untuk siasatan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya hasil siasat awal mendapati kedua-dua suspek memperoleh dadah tersebut daripada pengedar warga asing di sekitar Bintulu dan suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 31 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua suspek bersama dengan barang rampasan ditahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya lagi pihak IPD Mukah akan terus mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang menjadi pengedar mahupun penagih dadah di sekitar Mukah.

Oleh itu, beliau meminta orang awam tampil untuk menyalurkan maklumat, kepada pihak polis bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah di daerah Mukah.

Barangan bukti kes iaitu bungkusan plastik lutsinar mengandungi tujuh straw serbuk kristal yang disyaki dadah Methamphetamine seberat 2.47 gram yang dimiliki oleh pasangan suami isteri tersebut.