
DARO: Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu GPS mengecapi kejayaan yang besar dan mutlak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam pertembungan sulung ini.
Katanya dengan kejayaan itu, 31 suara Ahli Parlimen dari negeri ini yang berada di parlimen nanti akan lebih lantang dan kuat dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.
Sebagaimana sebelum ini katanya, Premier Sarawak yang mendesak agar pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan harus dibuat dengan mengambil kira semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Laporan Antara Kerajaan (Laporan ICG).
“Melalui kemenangan besar ini nanti, suara kita akan menjadi lebih kuat. Sarawak juga berhak untuk menerima peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan terutama dari dana untuk kemudahaan asas terutama elektrik, air, telekomunikasi dan sebagainya.
“Termasuk juga sekolah dan hospital serta klinik yang amat diperlukan. Semua ini terlah ditolak oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah 22 bulan sebelum ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Perasmian Naik Taraf Sistem Bekalan Air Daro, hari ini.
Oleh itu, Awang Tengah menyeru masyarakat terus memberi sokongan kepada calon daripada GPS terutamanya dari Parlimen Igan dalam PRU-15 ini.
“Jadi saya mahu anda semua bekerja keras untuk memastikan kemenangan besar untuk Ahmad Johnie. Dengan sokongan padu daripada semua, kita boleh melakukannya,” kata Awang Tengah.
Beliau juga turut yakin Sarawak mampu terus menarik para pelabur dari dalam dan luar jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.
“Dengan kestabilan yang dikecapi Sarawak, kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda serta yang menawarkan gaji yang terbaik,” katanya.