Subsidi RM4 juta untuk syarikat bas Sarawak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi program subsidi untuk membantu syarikat bas di Sarawak untuk meneruskan perkhidmatan mereka di laluan-laluan penting yang kurang penumpang dan tidak menguntungkan.

Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LKPK) Sarawak, Wong King Wei, semalam berkata insentif berkenaan diberikan kepada syarikat bas henti-henti bagi memastikan perkhidmatan mereka terus dapat dinikmati golongan yang masih bergantung kepada perkhidmatan mereka.

“Sehubungan itu, LPKP Sarawak akan melihat semula laluan bas henti-henti yang ada supaya syarikat ini dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik sejajar dengan perancangan lembaga ini,” katanya kepada pemberita selepas melapor diri sebagai Pengerusi LPKP Sarawak baharu di pejabat lembaga itu, di sini.

Pelantikan Wong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam satu kenyataan semalam, yang berkuat kuasa dari 30 Jan lalu hingga 29 Jan 2022.

Menurut Wong, LPKP Sarawak setakat ini telah mengeluarkan sebanyak 49,991 lesen kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam, di mana daripada jumlah itu sebanyak 227 lesen adalah untuk perkhidmatan bas henti-henti.

Sementara itu, Wong meminta kerajaan negeri Sarawak untuk memastikan segala syarat yang ditetapkan LPKP dipatuhi sebelum memulakan perkhidmatan bas sekolah percuma yang dirancang untuk dimulakan April ini Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Beliau mengalu-alukan usaha ini selagi ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat tetapi operasinya hendaklah tidak melanggar apa-apa peraturan perlesenan yang dikuatkuasakan oleh lembaga itu dan menimbulkan kesulitan.

“Tiada masalah atau isu bagi kerajaan negeri menggunakan lesen bas sekolah sedia ada bagi memulakan perkhidmatan percuma terbabit selagi tidak melanggar sebarang syarat pemberian lesen itu yang dikeluarkan LPKP,” katanya semasa mengulas rancangan kerajaan negeri itu.

Menurutnya, bas sekolah mempunyai syarat-syarat tertentu bagi membolehkannya mendapat kelulusan LPKP dan bas-bas sekolah yang hendak digunakan untuk perkhidmatan percuma ini berkemungkinan perlu melalui perubahan syarat sebelum dibenarkan beroperasi secara sah.

“Kalau mereka (kerajaan negeri ) mahu membuat perubahan pada syarat (lesen) itu, saya percaya mereka boleh membuat permohonan dengan cara betul dan kami pasti bersedia untuk membantu,” katanya.– BERNAMA

Suara Sarawak