KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dengan kadar subsidi dikurangkan RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa 1 Mei ini.
Menurut kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, pemberian subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin ekoran kos pengeluaran yang stabil.
“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu apabila ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga kompetitif,” katanya.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.05 bilion untuk pembiayaan subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran ekoran pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukaraine dengan Rusia atas harga import soya dan jagung bijian.
Kerajaan juga mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
Langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan pada masa ini, subsidi tersebut turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Hasil penjimatan peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai MADANI,” katanya lagi.
Sementara itu, KPKM dan KPDN akan melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup.
Antara langkah-langkah yang dilakukan ialah memperkenalkan telur gred khas pada harga munasabah oleh pihak industri, jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua gerai jualan di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
KPDN juga akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur boleh dibuat melalui e-mel rasmi KPKM di pro@kpkm.gov.my atau melalui hotline ibu pejabat KPKM Putrajaya 03-80008000.



