
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak bakal melaksanakan subsidi yuran taska dan tadika untuk kumpulan B40 di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara tersebut penting untuk membantu ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat penjagaan terutamanya taska swasta.
Menurutnya, usaha sedemikian dilaksanakan pihaknya untuk memberikan bantuan sekali gus meringankan beban terutamanya kepada kumpulan B40.
“Sebenarnya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi melaksanakan perkara berkenaan.
“Kita akan memperhalusi dari segi kriteria atau syarat untuk bantuan ini supaya ibu bapa dapat menghantar anak-anak mereka ke taska swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan ke taska di tempat kerja di Sedidik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini, hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk
meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi tujuan subsidi yuran taska dan tadika di negeri ini.
Kata Abang Johari, inisiatif berkenaan akan membolehkan golongan ibu bapa yang kurang berkemampuan menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan awal.
Sehubungan itu, Fatimah memaklumkan bahawa pelaksanaan tersebut penting untuk kawasan bandar kerana kebanyakan taska dikendalikan oleh sektor swasta.