SPAOH: Tiada apa yang mampu saya lakukan selain memohon kepada Allah SWT, demikian luahan seorang insan bergelar bapa, Basri Todan apabila ujian dan dugaan datang serentak secara tiba-tiba.
Tatkala masih ramai yang meraikan Hari Bapa sejak disambut 20 Jun lalu, namun lain ceritanya dengan kisah pahit yang dihadapi bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Manakan tidak, isterinya dan anak bongsu berada di Hospital Umum Sarawak (HUS), si along dan angah pula di pusat kuarantin di Bandar Betong, beliau sendiri bahkan terkurung di salah sebuah pusat kuarantin dekat ibu negeri.
Lebih dirisaukannya ketika ini ialah anak bongsunya, Nurul Izwany yang berusia 30 hari dan difahamkan menghidap penyakit yang belum dipastikan punca sebenar.
Awalnya, bayi perempuan tersebut dikatakan mengalami usus membesar, namun belum disahkan oleh hospital mengenai penyakit sebenar.
Menurut bapa berusia 37 tahun itu, anaknya dikesan masalah tersebut ketika diperiksa di Klinik Kesihatan Spaoh dan Hospital Betong.
“Seperti kelaziman di awal kelahiran, bayi akan dibawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan kuning atau jaundis, begitu juga Izwany.
“Apabila diperiksa, doktor dan jururawat mengesan sesuatu yang pelik, mengapa perut Izwany kembung?
“Kemudian, anak saya dirujuk ke Hospital Sri Aman kerana mereka takut ada masalah usus atau bakteria atau masalah lain di dalam perut menyebabkan perutnya menggembung.
“Sampai di Hospital Sri Aman pada 14 Jun, si isteri Hernawati Mohammad terus menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusan negatif.
“Selepas hospital melakukan imbasan, mereka mengesan usus anak saya semakin membusung dan akhirnya dihantar ke HUS.
Pada 15 Jun, kedua-duanya perlu sekali lagi menjalani ujian saringan Covid-19.
Apa yang mengejutkan isteri saya disahkan positif, sementara anak saya negatif,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Jelasnya, kemudian semua ahli keluarga terpaksa dikuarantin.
“Si isteri dan Izwany di wad pengasingan dekat HUS, manakala dua anak lagi Nurul Izzaty, 11 dan Mohd Izwan, 9 ditempatkan di pusat kuarantin di Bandar Betong.
“Saya sendiri di Kuching, juga menjalani kuarantin sejak 18 Jun lalu.
Luluh rasa hati, semua kerja serba tidak menjadi dan saya seolah-olah mati akal apabila ujian dan dugaan datang serentak.
“Saya hanya mampu berdoa, menghadap-Nya dan berzikir. Selebihnya saya memang tidak mampu kerana terkurung di pusat kuarantin,” ujarnya yang bekerja sebagai Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di SK Nanga Entalau, Lubok Antu.
Difahamkan kini, keadaan semasa Hernawati dan Izwany stabil, cuma keadaan perutnya masih menggembung dan tidak surut-surut.
“Alhamdulillah berkat doa daripada semua pihak, selain kekuatan isteri dan anak saya, mereka sentiasa dalam lindungan Yang Maha Esa.
“Insha-Allah mungkin pada minggu ini apabila isteri saya sembuh, mereka berdua akan dirujuk ke klinik pakar bagi mencari punca sebenar menyebabkan perut anak saya menggembung.
“Saya cuma memohon doa daripada semua agar urusan anak saya dan keluarga kami dipermudahkan, semoga Izwany diberikan kesembuhan… untuk sihat seperti kanakkanak yang lain,” sambungnya.
Basri menzahirkan penghargaan kepada semua yang menyumbang demi meringankan bebannya serta keluarga.
“Alhamdulillah, ramai juga yang prihatin nasib kami… banyak juga sumbangan daripada Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (Lakis), jawatankuasa kebajikan SK Nanga Entalau dan pemberian peribadi daripada rakan. Terima kasih.
“Hanya Allah yang dapat membalas jasa semua, yang banyak membantu dan mendoakan kesembuhan buat anak saya,” katanya.
Bercerita tentang bagaimana proses kelahiran Izwany, beliau menyifatkan tempoh Covid-19 memang mencabar.
“Pada 27 Mei ketika isteri hendak melahirkan, saya terus menghantarnya ke Hospital Betong tetapi atas masalah tertentu, ia tidak dapat diuruskan di situ, terpaksa dirujuk ke Hospital Sri Aman.