ARTIKEL

Abdul Karim bercakap di sidang media selepas membentangkan penggulungan bagi dua kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini. - Foto: Ramidi Subari

Sudah tiba masanya bagi persempadanan semula kawasan DUN, Parlimen di Sarawak – Abdul Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Sarawak.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana memang sudah masanya persempadanan semula dibuat, khususnya bagi konstituensi yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi.

“Kami akur dengan apa sahaja kerusi, termasuk di kawasan bandar, walaupun tahu kerusi bandar selalu menjadi masalah bagi kami (untuk menang) tetapi ia adalah untuk kami bekerja keras dan menjadikan kehadiran kami dirasai di kawasan bandar.

“Saya rasa pengundi bandar juga rasional jika mereka melihat kita telah menjaga negeri dengan baik, mereka akan mengundi kita,” katanya pada sidang media selepas membentangkan penggulungan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurut Abdul Karim, di bawah Perlembagaan Malaysia, persempadanan semula boleh dilakukan setiap lapan tahun, dan proses persempadanan semula terakhir bagi kawasan DUN mahupun Parlimen di Sarawak telah dibuat lebih lapan tahun lalu.

Beliau turut memberitahu bahawa SPR sekarang sudah berada di lapangan bagi mengenal pasti kerusi yang perlu untuk menjalankan persempadanan semula kerana ia adalah di bawah tanggungjawab mereka.

“Mereka (SPR) akan pergi dan melihat kerusi mana yang mempunyai bilangan penduduk yang terlalu ramai dan mereka perlu mengurangkannya, begitu juga bagi kawasan Parlimen.

“Misalnya, saya mendengar DUN Senadin di Miri dan DUN Tupong di Kuching adalah dua kawasan yang mempunyai lebih 100,000 penduduk, jadi mereka perlu dipecahkan.

“Sudah tentu ramai wakil rakyat yang mungkin mahu melibatkan kawasan mereka tetapi ini diputuskan oleh SPR,” katanya.

Justeru, Abdul Karim berkata apabila kerusi DUN atau Parlimen sudah dikenal pasti untuk persempadanan semula, pindaan perlu dibuat kepada Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata GPS sudah mengemukakan cadangan kepada SPR bagi penambahan empat lagi kerusi DUN di Sarawak.

Kerusi baharu itu membabitkan kawasan Parlimen Kapit, Hulu Rajang dan Kanowit.

“Kami wakil rakyat daripada semua parti sudah berbincang beberapa kali dan bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan kawasan baharu DUN Sarawak.

“Kami cadangkan empat kerusi baharu, tapi ia terpulang kepada SPR.

“Ini saya kena jelaskan di sini (asas kepada permintaan ini ialah) kerana kawasan Hulu Rajang, Kanowit dan Kapit sangat besar.

“Jadi kita berharap ia diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Mangkung Tiang Rumah Panjang Tatai Emas di Kapit semalam.

Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan, GPS akan mengemukakan cadangan persempadanan semula DUN Sarawak kepada SPR pada tahun ini.

Kali terakhir persempadanan semula DUN Sarawak dilaksanakan adalah pada 2015 dengan menambah komposisi kerusi kepada 82 berbanding 71.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU