SUFC III tumbangkan Kuching FA

SKUAD Sarawak United FC III (SUFC III) ‘langkah kanan’ setelah mengalahkan pasukan jiran, Kuching FA 3-2 dalam kempen Piala Presiden 2020 di Stadium Negeri Petra Jaya Kuching petang tadi.

Dalam perlawanan yang agak sengit itu menyaksikan Kuching FA terlebih dahulu memimpin perlawanan melalui jaringan Amirul Iqmal Bolhi pada minit ke-57.

Namun ia cuma mampu bertahan 11 minit apabila SUFC III mengimbangi kedudukan pada minit ke-69 melalui Dzul Ikram.

Ketika saingan seakan-akan berakhir dengan seri 1-1, SUFC III menggegar jaring Kuching FA dua kali ketika aksi berbaki sembilan minit, melalui Alphonsus pada minit ke-81 dan Iskandar Shah empat minit sebelum tamat.

Kuching FA pula hanya mampu menjaringkan gol perapat jurang dalam masa kecederaan, minit ke-92 menerusi Wan Badreen. Agak malang buat Kuching FA apabila terpaksa bermain dengan 10 orang apabila seorang pemainnya dilayangkan kad merah.

Ketua Jurulatih SUFC III, Ahmad Fairuz menjelaskan anak-anak buahnya agak lambat panas, kerana belum dapat membaca rentak permainan lawan pada awal saingan.

“Kita mula mengatur stratergi pada separuh masa kedua apabila dapat membaca kelemahan dan momentum Kuching FA… dan akhirnya kita berjaya,” ujarnya.

“Saya berharap rentak ini dapat diteruskan di Johor pada 3 Mac nanti,” jelasnya.

Menurut Fairuz, mereka akan bertolak seminggu lebih awal kerana akan mengadakan dua aksi persahabatan menentang pasukan Liga M3.

Suara Sarawak