KURANG dua bulan sebelum tahun baharu, pasti kita terkenang kembali peristiwa dalam kehidupan harian sepanjang tahun ini.
Pada Januari tahun ini juga, saya mendapat tawaran pekerjaan sebagai wartawan, menjadi momen terindah 2023.
Setelah menjalani latihan industri di Suara Sarawak selama tiga bulan, saya tidak menyangka dapat meneruskan kerjaya sebagai wartawan.
Sejak di bangku sekolah, jika mengisi cita-cita dalam biodata, saya memilih untuk menjadi guru.
Pada awalnya, ramai yang tidak percaya saya merupakan wartawan dan beranggapan tiada wartawan pada usia muda.
Sehinggakan, apabila ingin menemu bual, ada antara mereka yang mengatakan bahawa saya penipu yang ingin mencuri maklumat tentang sesuatu perkara.
Ada juga yang mengatakan bahawa pekerjaan wartawan tidak sesuai untuk golongan muda kerana lebih banyak pekerjaan lain yang lebih baik.
Tidak kurang juga yang mengatakan zaman sekarang tiada yang membaca surat khabar dan lebih baik berita daripada televisyen.
Memandangkan saya baharu dalam bidang kewartawanan, kata-kata tersebut sedikit sebanyak mengganggu fikiran.
Bagaimanapun, lama kelamaan saya anggap ia masuk telinga kanan, keluar telinga kiri kerana kita sendiri menentukan apa-apa yang perlu diterima sesuai dengan potensi diri.
PENGHARGAAN
Pada masa sama, saya sering berfikir bagaimana cara untuk menyedarkan mereka, media cetak juga memainkan peranan penting menyebarkan berita sahih dan tepat.
Adakah mereka berpendapat wartawan media televisyen dan radio sahaja boleh dipercayai?
Ucapan terima kasih sangat berat diucapkan bagi sesetengah pihak, tetapi apabila mendengar ucapan itu, tentu kita lega dan berasa ia berbaloi.
Baru-baru ini, saya menghadiri majlis apresiasi media yang dianjurkan oleh sebuah agensi kerajaan. Ia merupakan penghargaan cukup besar bagi saya.
Semasa majlis itu juga, mereka membuat video dan memaparkan keratan akhbar sepanjang tahun lalu hingga Oktober tahun ini.
Tentunya perasaan gembira apabila melihat nama sendiri dipaparkan.
Tidak dinafikan, mereka sering memberi kerjasama dan layanan yang sangat baik.
Ini menyebabkan saya sebagai orang baharu berasa selesa ketika membuat liputan.
Apabila meminta pandangan dan memberi pertanyaan, mereka antara yang pantas memberi maklum balas.
Bukan itu sahaja, wakil rakyat di kawasan ini juga sentiasa memberi contoh baik untuk menghargai media dan sering mengatakan perlunya memastikan sesuatu berita itu sahih sebelum dikongsikan.
Ini kerana, apabila sesuatu berita palsu itu tersebar, sukar membetulkan semula terutama di tempat yang jauh dari bandar dan mereka tidak mendapat rangkaian Internet mengetahui kesahihan sesuatu berita.
Di samping itu, kita juga dapat lihat ramai “wartawan jadian” di media sosial kerana mereka lebih pantas membuat kerja tanpa info yang sahih.
Mungkin disebabkan maklumat mudah diperoleh di hujung jari menyebabkan ramai tidak memandang kerjaya wartawan sebagai penyampai maklumat utama.
Pun begitu, sebagai pengamal media, kami sentiasa memberikan maklumat tepat dan sahih.
Lebih banyak pahit dan manis yang menanti wartawan pada masa hadapan dan saya berharap agar semua pengamal media dihargai.
Dalam kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada pembaca Suara Sarawak yang membaca hasil tulisan kami terutama bahagian pojok ini.