Trending

Sukan Para ASEAN: Edisi 2023 berakhir, edisi 2026 di Thailand

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PHNOM PENH: Selepas seminggu atlet paralimpik rantau ASEAN menempuh pelbagai onak dan duri, Sukan Para ASEAN (APG) 2023 akhirnya ditutup secara rasmi dengan persembahan memukau di Stadium Nasional Morodok Techo di sini semalam.

Seramai 50,000 penonton mula membanjiri stadium tersebut seawal jam 4.00 petang untuk menyaksikan majlis penutupan temasya edisi ke-12 yang buat julung kali dianjurkan oleh Kemboja.

Kontinjen negara yang diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Noor Syahieda Mat Shah, sekali lagi menggayakan pakaian trek dengan jaket yang memaparkan logo Jalur Gemilang, seolah-olah memberi maksud perjuangan atlet adalah demi lencana di dada. 

Persembahan menarik dimulakan dengan muzikal ‘Cambodia Shines’ diikuti seni pertahanan diri ‘Kun Bokator Physical Education’. 
 
Sukarelawan yang sentiasa membantu semua kontinjen dari 11 negara diberi penghormatan untuk mempersembahkan muzikal ‘Heart Language’ yang menyaksikan mereka berarak di sekeliling stadium. 

Perdana Menteri, Hun Sen, menyampaikan ucapan sebelum beliau mengisytiharkan secara rasmi penutupan temasya sukan yang bermula 3 Jun lalu.

Acara diteruskan dengan penyerahan bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN kepada wakil tuan rumah seterusnya, Thailand, yang akan menganjurkan edisi ke-13 di Nakhon Ratchasima dari 20 hingga 26 Januari 2026, iaitu kali kedua APG akan diadakan di sana selepas edisi 2008. 

Malam penutupan APG Ke-12 diakhiri dengan persembahan bunga api berwarna-warni selepas obor temasya sukan dwitahunan itu dipadamkan.   

Kontinjen para negara yang diwakili kira-kira 144 atlet menamatkan cabaran kali ini dengan cemerlang apabila meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 28 gangsa untuk menduduki tangga keempat dalam carta pingat.

Indonesia mempertahankan gelaran juara keseluruhan dengan merangkul 159 pingat emas, 148 perak dan 94 gangsa, sekali gus menjadi juara buat kali keempat berturut-turut selepas edisi Solo 2022, Myanmar 2013 dan Kuala Lumpur 2017. 

Thailand menghuni tangga kedua dengan meraih 126-110-92, dikuti Vietnam (66-58-77). – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Gol Ronaldo memukau

BINTANG sensasi, Cristiano Ronaldo membuktikan sentuhan ajaibnya apabila menyumbat gol

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru