Sukan Sarawak bebas rasuah

TIADA kes penyelewengan wang dalam kalangan pihak yang terbabit dengan organisasi sukan di Sarawak.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip bagaimanapun berkata, pihaknya memantau dan menyiasat sekiranya menerima aduan.

“Tiada kes besar yang melibatkan penyelewengan dalam sukan dan ia hanya melibatkan aduan berkaitan bantuan yang tidak mencukupi diterima,” katanya.

“Akan tetapi sekiranya ada menerima aduan atau mendengar kes-kes yang melibatkan integriti, pihak terbabit akan disiasat bagi memastikan setiap bantuan seratus peratus diterima oleh atlet-atlet kita.

“Integriti amat ditekankan oleh semua pihak dalam melakukan tugasan dan pihak kami juga akan sentiasa membuat pemantauan,” tegasnya dalam satu temu bual di kediamannya baru-baru ini.

Katanya, golongan atlet sudah dididik semasa atlet diperingkat persekolahan hingga ke peringkat pengajian tinggi untuk sentiasa bersikap berintegriti iaitu menjadi seorang yang antirasuah dalam pelbagai bidang termasuk sukan.

“Masa depan negara adalah bergantung kepada belia yang kita bentuk pada masa sekarang.

Ini kerana, mereka adalah pelapis kepada pemimpin-pemimpin kita sekarang.

“Melalui beberapa kajian yang telah saya buat juga, individu yang mengamalkan sikap berintegriti tinggi akan sentiasa menjadi kepercayaan masyarakat dan mudah untuk meningkat naik dalam setiap bidang yang diceburi.

“Manakala, individu yang kurang berintegriti sukar mendapat kepercayaan orang ramai,” ujarnya.

Suara Sarawak