PEMENANG pingat Gangsa acara 110 meter berpagar lelaki, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif, 20, bukan sekadar berjaya mengharungi palang ketika memecut, bahkan turut berjaya hadapi liku-liku kehidupan sejak kecil.
Detik bermakna yang diciptanya pada Jumaat (12 Disember) dengan catatan 13.85 saat bukan sekadar membawa dirinya ke podium — tetapi menghadiahkan senyuman yang paling berharga buat ibunya.
Armin dibesarkan oleh ibu tunggal sejak berusia sembilan bulan.

“Saya bertanding untuk ibu.
Dari dulu sampai sekarang, cuma dia yang ada dengan saya,” kata Armin, cuba menahan sebak.
Baginya, segala kasih, harapan dan beban yang ditanggung ibunya selama ini menjadi azimat kekuatan dan kini Armin merasakan sudah tiba masanya untuk membalas setiap pengorbanan tersebut.
“Saya mahu bantu ibu.
Saya mahu masa depan yang lebih baik untuk kami,” tambahnya.
Sebagai anak tunggal, Armin merasakan tanggungjawab itu semakin berat, namun setiap langkah, latihan dan pertandingan tetap ditempuh dengan tekad untuk mengubah kehidupan mereka.
Terdahulu, emas menjadi milik atlet Filipina, Tolentino John Christopher dengan catatan 13.66 saat, manakala Ang Chen Xiang dari Singapura meraih perak dengan 13.75 saat
Kejayaan ini menjadi permulaan baharu bagi Armin — bukan hanya sebagai atlet, tetapi sebagai anak yang berjanji untuk mengubah nasib keluarganya.
Aksinya di Bangkok hari ini menjadi hadiah kecil buat seorang ibu yang membesarkannya sendirian — mungkin permulaan kepada masa depan yang lebih cerah.






