HASRAT atlet memanah lelaki negara, Mohd Juwaidi Mazuki, untuk mempertahankan pingat emas acara memanah compound individu lelaki tidak kesampaian apabila tewas tipis 145-147 kepada wakil tuan rumah, Pattanapongkiat Peerawat, pada Sukan SEA 2025.
Kekalahan dalam aksi sengit pada Khamis (18 Disember) itu menyaksikan Juwaidi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Namun, beliau tetap menganggap pencapaian berkenaan sebagai sesuatu yang membanggakan, khususnya berdepan keadaan angin yang mencabar sepanjang perlawanan di Lapang Sasar Memanah Perbadanan Sukan Thailand (SAT).
“Memang sedikit kecewa kerana tidak dapat mempertahankan emas individu, tetapi saya masih berpuas hati dengan persembahan hari ini.
“Keadaan angin di padang benar-benar mencabar,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas perlawanan.
Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan individu, Juwaidi menegaskan kejayaan meraih emas dalam acara berpasukan lelaki pada sebelah pagi jadi pengubat buat dirinya.

Mengulas hala tuju seterusnya, Juwaidi menegaskan fokusnya kini terarah kepada pentas lebih besar, termasuk kejohanan dunia dan misi kelayakan ke Olimpik 2028.
“Sasaran utama saya adalah untuk mendapatkan tempat di kejohanan bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, kem negara turut menambah pingat gangsa dalam acara memanah compound individu wanita selepas Ng Sui Kim menewaskan wakil Filipina, Cojuangco Amaya Amparo, dengan keputusan 139-134.
“Saya sangat lega dan gembira dapat juga memenangi gangsa.
“Laluan ke perlawanan penentuan tempat ketiga bukan mudah, tetapi saya cuba kekal positif,” katanya.
Sui Kim turut mengakui kekalahan tipis 143-145 kepada wakil Indonesia pada pusingan sebelum itu hampir merencatkan momentum, namun beliau bangkit untuk menamatkan saingan di podium.
Terdahulu, kejayaan emas berpasukan lelaki Malaysia dicatat menerusi gandingan Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki yang menewaskan Thailand 232-228, sekali gus menebus kekecewaan pingat perak edisi 2021 di Hanoi.





