KUCHING: Sukan SEA 2027 memberi peluang untuk mempamerkan standard tadbir urus dan integriti yang menjadi asas kepada masa depan sukan di Sarawak, bukan sekadar peluang menjadi tuan rumah kepada acara sukan utama.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penganjuran acara sukan yang berjaya bukan hanya diukur berdasarkan kecekapan pengelolaannya, tetapi juga sama ada pertandingan dianjurkan secara adil.
“Sukan SEA 2027 bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi peluang untuk mengetengahkan Sarawak, memperkukuh hubungan serantau dan membuktikan keupayaan kita menganjurkan acara sukan utama.
“Justeru, penganjuran Sukan SEA 2027 menjadi peluang penting bagi Malaysia dan Sarawak untuk mempamerkan keupayaan sukan, memperkukuh kerjasama serantau serta memberi inspirasi kepada generasi baharu atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu bahawa sukan menawarkan peluang besar dalam pembangunan, pelancongan dan aktiviti ekonomi, namun kemampanan sektor itu hanya dapat dipastikan apabila persekitaran sukan berteraskan integriti.
“Sukan tidak terkecuali daripada ancaman rasuah, manipulasi pertandingan, pertaruhan haram, pengubahan wang haram dan pelbagai bentuk kegiatan jenayah lain.
Oleh itu, integriti sukan mesti dianggap sebagai asas penting dalam pembangunan sukan.
“Apabila amalan sedemikian memasuki dunia sukan, kesannya bukan sahaja terhadap keputusan sesuatu pertandingan, malah turut menjejaskan kepercayaan masyarakat, keyakinan terhadap institusi serta menjejaskan nilai pencapaian atlet yang telah bertahun-tahun berusaha untuk bertanding secara adil.
“Integriti bukanlah perkara tambahan yang hanya dipertimbangkan selepas sesuatu acara dianjurkan, sebaliknya mesti diterapkan sejak awal dalam cara kita merancang, mengurus dan mentadbir sukan,” tegasnya.
Tambahnya, sekiranya sukan mahu menyumbang kepada pembangunan rakyat, komuniti dan ekonomi, asas pengoperasiannya perlu diyakini, telus dan boleh dipercayai.
“Integriti menjadi sebahagian daripada sistem dan bukannya sekadar prinsip yang diperkatakan apabila tadbir urus menjadi kukuh.
“Perkara ini amat penting ketika kita membuat persiapan untuk menganjurkan acara utama yang melibatkan sumber awam yang besar, pelbagai institusi serta peserta dari bidang kuasa yang berbeza,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata penganjuran SNSIC 2026 tepat pada masanya dan penting bagi membolehkan semua pihak berkongsi pengalaman secara terbuka serta memperkukuh kerjasama merentasi institusi dan bidang kuasa.
“Sepanjang persidangan ini, peserta berpeluang membincangkan risiko rasuah yang berkaitan dengan acara sukan, manipulasi pertandingan, pertaruhan haram, jenayah kewangan, kerangka perundangan dan kawal selia serta amalan terbaik antarabangsa dalam melindungi integriti sukan.
“Tiada satu pun agensi, organisasi atau negara yang mampu menangani cabaran ini secara bersendirian.
Oleh itu, usaha menangani cabaran ini juga perlu dilaksanakan secara kolaboratif,” katanya.





