KUCHING: Kem badminton Sarawak diharap mampu memberi saingan yang lebih mantap menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah justeru menaruh harapan agar sukan terbabit mampu memberi kejutan daripada dianggap sebagai pasukan bukan pilihan oleh lawan.
“Banyak pembaharuan yang telah kita saksikan menjelang kejohanan kali ini dan juga peningkatan dalam kalangan atlet-atlet badminton kita.

“Harapan kita pada Sukma nanti dapat membuat kejutan dalam badminton, jadi tidaklah pasukan-pasukan lain melihat pasukan Sarawak sebagai pasukan untuk ‘dimakan’ sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pada Kejohanan Junior Piala Abang Jo dan Kejohanan Junior Piala Juma’ani di Dewan Persatuan Badminton Sarawak (SBA), semalam.
Kejohanan Junior Piala Abang Jo dan Kejohanan Junior Piala Juma’ani kali ini merupakan edisi ke-2 telah diadakan membabitkan lebih 10 pasukan.
Sekali gus menampilkan lebih 100 pemain belia mengambil bahagian dari seluruh Sarawak serta pasukan jemputan dari Sabah, Brunei dan juga Singapura.
Kelab Badminton Cemerlang (KBC) menjadi pasukan juara Kejohanan Junior Piala Abang Jo, diikuti Pasukan Pusat Latihan Badminton Miri (PLBM).
Manakala tempat ketiga bersama diungguli oleh pasukan Kelab Rekreasi Sarawak Energy (SERC) dan Piasau BC Miri.
Sementara Piala Juma’ani dirangkul oleh pasukan SERC selaku juara, diikuti pasukan KBC naib juara manakala Lopeng BC dan Kelab Badminton WCBF Sibu masing-masing ketiga bersama.