Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo yakin dapat mempertahankan dua pingat emas dimenangi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022.
Meskipun penampilan skuad terbabit di SUKMA 2024 tanpa kelibat dua penyumbang pingat emas berkenaan, Daeionel McDelong Bong dan Jackson Chambai Ak Ikeh yang tidak akan beraksi ekoran lebih umur.
“Kita mempunyai petinju yang masih boleh beraksi di temasya itu tahun depan.
“Saya yakin mereka mampu memberikan yang terbaik serta meraih emas untuk Sarawak kelak,” ujar Rahman kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut beliau, pihaknya juga akan mengenal pasti bakat baharu menerusi penglibatan mereka dalam kejohanan yang akan dianjurkan selepas ini.
“Mungkin kita akan dapat mengenal pasti petinju baharu yang berbakat serta mampu menyumbang pingat untuk Sarawak kelak,” tambah Rahman lagi.
Dalam pada itu, Rahman menyatakan, pihaknya akan merangka latihan lebih komprehensif kepada petinju yang akan diberi kepercayaan mewakili Sarawak kelak.
“Kita tahu saingan sengit akan dilalui petinju kita kelak. Oleh yang demikian, kita akan mempersiapkan petinju dengan latihan lebih komprehensif lagi,” jelas beliau lagi.
Sambil itu, Rahman turut menyatakan pihaknya juga akan menjelajah ke serata bahagian untuk mengenal pasti petinju berbakat dan berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.