KUCHING: Pelumba muda Sarawak, Muhammad Luqman Daniel Mohammad Roji mengakui tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan jadual waktu latihan sepanjang bulan Ramadan.
Sebaliknya, dengan pengalaman sama pernah dilalui sebelum ini tampak mudah bagi anak jati ini mengekalkan fokus dalam meningkatkan prestasi semasa dirinya ketika ini.
“Sehingga kini memang tiada masalah, cuma hanya masa sahaja yang bertukar dari siang ke malam.
“Tidak dinafikan berlatih di bulan Ramadan sememangnya sedikit mencabar kerana turut menjalani ibadah puasa di sebelah siangnya,” ujar Daniel kepada Arena Suara Sarawak.
Dalam pada itu, Daniel memberitahu, beliau akan pulang ke pangkuan keluarga tersayang pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Saya dan rakan-rakan diberi cuti beberapa hari untuk menyambut lebaran di kampung halaman masing-masing,” tambah Daniel lagi.
Skuad berbasikal Sukma Sarawak berlatih di ibu negara dibawah kendalian jurulatih yang juga pelumba kebangsaan, Josiah Ng sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022.
