KUALA LUMPUR: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin kontinjen Sarawak mampu menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022.
Menurutnya, ia dengan mengambil kira kedudukan Sarawak yang masih berpeluang menambah koleksi pungutan pingat, selain terdapat beberapa acara sukan yang berpotensi untuk menyumbangkan pingat.
“Kontinjen Sarawak kini berada di kedudukan keenam dengan menggumpul 16 pingat emas, 20 pingat perak dan 29 pingat gangsa.
“Saya percaya akan ada pertambahan pingat lagi selepas ini kerana saingan akan berakhir sepenuhnya pada 24 September nanti,” ujar beliau pada sidang media di Sekretariat Sukma Sarawak 2022, hari ini.
Menurut Karim, masih terdapat barisan atlet Sarawak yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir dan akhir dalam acara yang disertai mereka.
Justeru, besar harapannya untuk menyaksikan ada atlet yang akan dapat beroleh pingat emas seterusnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Timbalan Ketua Kontinjen Sukma Sarawak, Nancy Jolhi dan Ketua Pegawai Eksekutif , Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Morshidi Fredrick.