
KUALA LUMPUR: Skuad silat Sarawak menutup gelanggang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022 dengan penuh bergaya sebentar tadi.
Meraih dua pingat emas menerusi Mohd. Abdul Latif Maxzakir dalam kategori Kelas Putra H (80-85kg) dan Raveena Jeno dalam kategori Putri Kelas E (65-70kg).
Pada aksi final yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Abdul Latif berjaya menumpaskan pesilat dari Perak Muhammad Yussuf Razali selaku pemenang pingat perak dengan kemenangan (29-19).
Berbanding kemenangan (41-35) dicatat Raveena Jeno yang menumpaskan pesilat dari Pahang, Nurulaina Zailudin.
Penolong Ketua Kontinjen Sukma Sarawak Mohammad Duri gembira dengan kejayaan kedua-dua pesilat terbabit meraih pingat.
“Syukur kerana kedua-dua pesilat terbabit berjaya memungut pingat emas dalam kategori masing-masing,” ujar beliau.
Sambil mengakui, skuad silat berjaya membawa balik 10 pingat keseluruhan, dua emas, dua perak dan enam gangsa.