SUKMA XX JOHOR: Atlet boling padang semakin bersemangat

KUCHING: Penyelesaian pemberian dua dos vaksin Covid-19 kepada atlet skuad Boling Padang Sukma Sarawak beberapa hari lepas jelas memberi kelegaan kepada pengemudinya, Mohd. Fairus Abang Deni.

Jurulatih elit itu menyifatkan kredit yang dimiliki barisan asuhannya diharap dapat dijadikan penanda untuk mereka terus fokus mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor tahun depan.

“Syukur kerana proses pemberian kedua-dua dos vaksin telah pun selesai dan diharap rutin kami akan kembali seperti biasa selepas ini,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, penyelesaian proses vaksinasi berkenaan juga akan dapat menjadi daya pengerak kepada program yang telah dirancang pihaknya sebelum ini.

Menurut Mohd. Fairus, sebelum ini banyak program latihan yang dirancang tertangguh malah terpaksa dibatalkan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Beliau menambah pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara turut menghambat keinginan untuk meneruskan pelbagai program lain.

Suara Sarawak