SEJUMLAH RM4 juta akan diperuntukkan untuk program Sukan Sarawak Kedua (SukSar) yang akan berlangsung di Miri pada 9 hingga 14 Disember depan.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian semasa sidang media di Kuching semalam.
“Peruntukan tertentu akan dibahagikan kepada setiap bahagian di empat zon iaitu zon utara yang membabitkan Limbang, Miri dan Bintulu, zon tengah (Mukah, Kapit dan Sibu), zon timur (Sarikei, Betong dan Sri Aman) dan zon selatan iaitu Kuching, Serian dan Samarahan.
“Matlamat kita adalah untuk melihat sukan sebagai satu acara yang baik kerana ia dapat menanam disiplin dalam diri, memupuk semangat persaingan yang sihat dan sukan merupakan satu riadah yang baik untuk golongan muda.
“Kita ingin menarik ramai golongan muda untuk melibatkan diri dalam sukan dengan harapan satu hari nanti mereka boleh mengharumkan nama negeri,” jelasnya.

Beliau menambah SukSar pada tahun ini akan diadakan di Miri dan matlamat program adalah untuk mencungkil bakat-bakat baharu serta memupuk semangat persaingan sihat.
Ketika Suksar 2017 dahulu, ramai bakat baharu dikesan dan kemudiannya diasuh mewakili Sarawak dan Malaysia.
Menurut Karim, 90 peratus atlet yang mewakili Sarawak dalam Sukma di Perak ialah mereka yang menyerlah dalam SukSar.
SukSar akan mempertanding 16 acara sukan iaitu petanque, renang, sepak takraw, badminton, silat, ragbi, bola tampar, bola jaring, tinju dan banyak lagi. Syarat penyertaan ialah atlet yang berusia 19 tahun ke bawah.
Sejumlah 1,500 atlet dan pegawai akan dalam SukSar tahun ini. Sektor pelancongan di Miri juga akan meningkat seperti perhotelan, perkhidmatan, makanan dan sebagainya. Perasmian akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 8 Disember.
Hadir sama ialah Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Dr Ong Kong Swee, Pengarah Urusan Kumpulan Lea Holdings, Raymond Sim, Residen Sri Aman Indit Bagai, Residen Miri Mustapha Julaihi dan Timbalan Residen Kuching Tuah Suni.