Sulaiman Buhari presiden PMSI yang baharu

SARIKEI: Ahli Lembaga Koperasi (Koperkasa) Sarawak, Sulaiman Buhari, 61, dipilih menerajui Persatuan Melanau Sarikei yang baharu dalam mesyuarat agung persatuan itu, semalam.

Pengerusi Koperasi Tenaga Baharu Bhd Sarikei ini juga seorang yang berpengalaman luas dan pernah menjadi pewakilan Bank Rakyat, Angkasa dan Ahli Jawatankuasa PMS bermula 1990 hingga sekarang.

Ketika ditemui beliau menzahirkan penghargaan kepada ahli persatuan yang memberi kepercayaan kepadanya.

“Saya amat mengharapkan kerjasama semua ahli jawatankuasa bagi memastikan persatuan ini lebih proaktif dan mampu menyumbang sesuatu yang bermakna untuk masyarakat.

“Pada masa yang sama, kita bersedia bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di Sarikei,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Sehubungan itu, jawatan Timbalan Presiden I disandang Abd Razak Siong manakala, Timbalan Presiden II, Abd Latiff Tamang.

Umi Kalthum memikul amanah sebagai Setiausaha dan dibantu timbalannya Mohazim Abd Razak. Jawatan Bendahari pula disandang Noorudin Fauzi.

Persatuan dimantapkan lagi dengan tujuh ahli jawatankuasa mereka ialah Mohd Yassar Raffie, Sapian Senani, Awgkok Dewa, Dainah Hassan, Safiah Yanam, Hasmah Ujis dan Dyg Norsiah Pg Bema.