SEMALAM saya berpeluang bertemu sosok wanita yang hebat!
Hebatnya, kerana beliau anak kampung yang menempa nama di persada global.
Membuatkan saya berasa sedikit menyesal, mengapa saya sebagai wartawan lambat mengenali wanita ini.
Aktif dalam aktiviti kemanusiaan, menerima anugerah kepimpinan global, usahanita yang mempunyai hubungan antarabangsa dan semakin banyak tahu mengenainya, saya semakin kagum.
“Saya tidak mahu menjadi nombor satu, tetapi saya mahu menjadi yang satu-satunya (I don’t want to be the number one but I want to be the only one),” kata Esther Law Lee Poh. Bagi yang tidak tahu, kalian boleh membaca profil wanita hebat ini di laman sesawangnya estherlaw.com.
Semua yang terucap di bibirnya sarat mesej, tidak hairan wanita yang 25 tahun pengalaman dalam industri ini banyak menerima pengiktarafan kepimpinan CSR sempena Anugerah Global McMillan Woods pada 2017, selain tersenarai penerima darjah kebesaran Ahli Bintang Kenyalang 2021, Anugerah Wanita Glamor 2021 selain menerima Movers and Shaker untuk Anugerah HRD Asia pada 2022.
Menariknya, wanita ini menekankan dedikasinya dalam memupuk hubungan dan kerjasama antarabangsa menjangkau di lebih 70 negara.
Katanya, pencapaian yang meninggalkan kenangan manis apabila organisasinya menjadi Pengerusi Pertandingan Akhir Miss Tourism International World ke-25 di Kuching pada tahun lepas.
Acara luar biasa itu menampilkan penyertaan 40 negara yang menarik 2.7 juta penonton digital seantero dunia
. Ini cuma sedikit kisah kejayaan anak kampung yang berasal dari Lundu ini.
Namun bagi saya, ia satu perjalanan yang sangat menarik kerana beliau dalam setiap bait pertuturannya mesti mengangkat restu Tuhan yang menjadikan beliau wanita hebat yang berjaya.
Pertemuan tiga jam 45 minit itu terasa singkat, namun saya keluar dari bangunan itu dengan membawa 1001 ilmu bahawasanya, dalam hidup hati harus selalu baik dan penuh kasih sayang.
Secara peribadi saya percaya, kita memang perlu memiliki hati yang sangat baik dengan sekeliling kita.
Kita tidak boleh hidup seorang diri dan untuk hidup tenang, kita perlukan orang sekeliling kita.
Begitu juga untuk mencapai sesuatu, kita perlukan orang lain juga.
Hidup akan lebih baik apabila kita dikelilingi orang yang baik. Ia bermula dengan sikap yang baik.
Saya percaya kita semua diciptakan sebagai orang baik dan kita semua adalah baik.
Jadi sebenarnya untuk menjadi orang baik itu tidak memerlukan usaha.
Jika kita berniat menjadi orang baik, maka jadilah orang baik dengan tulus dan ikhlas.
Namun ada yang berasa menjadi orang baik itu memang sulit.
Bagaimana tidak?
Kita sering mendengar atau berasakan ketika kita berbuat baik, ada sahaja orang yang berasa kita tidak baik.
Saya sendiri pernah ada pengalaman jatuh pada titik rendah dalam persahabatan dengan sahabat baik.
Kita akan berasa dikhianati apabila kebaikan kita kepadanya dibalas dengan kejahatan.
Saya berasa selepas lama bersahabat saya tidak menemukan setitik pun ketulusan dalam hati sahabat saya.
Jika dia ikhlas, dia tidak akan mengusik nilai persahabatan, dia tidak akan tergamak memecahkan terma sahabat baik.
Kerana itu, kita harus simpan suku hati kita untuk terluka bilabila masa.
Kita punya satu hati, kita bahagikan kepada beberapa bahagian, sudah pasti setengah untuk keluarga kita, suku untuk orang luar seperti sahabat dan suku lagi simpankan untuk dilukai pada bila-bila masa sama ada, dalam kerjaya, keluarga dan persahabatan.
Apabila saya berbuat demikian, saya tidak berasa terluka sangat.
Dalam setiap kejatuhan, kita harus ambil semangat baharu yang lebih segar supaya hati cepat sembuh.
Jadi bagaimana cara melupakannya?
Singkir terus dia dalam senarai sahabat baik.
Jiwa kita akan lebih tenang selepas itu.
Selagi kita tidak melupakan terma sahabat baik, kita akan berasa keadilan kita terusik.
Kita akan terus mempertikaikan bagaimana mungkin orang yang berbuat baik akan menerima perbuatan buruk daripada orang yang paling dipercayainya.
Jadi, kesimpulan, boleh berbuat baik dengan manusia namun kena berpada-pada.
Saya percaya, dalam hidup, dalam kerjaya, persabahatan, rumah tangga, keluarga — kunci kepada kebaikan dan ketenangan — lakukan segalanya dengan tulus dan ikhlas.
Kita hidup bukan untuk 100 tahun, tidak memiliki sembilan nyawa kerana hidup ini terlalu singkat untuk melakukan kejahatan.
Justeru apabila menyebut tentang perlukan orang lain, kita hidup memang perlukan orang lain.
Kita bukan duduk di dalam hutan seorang diri, justeru, tidak salah menjadi orang baik, lebih mudah untuk menjadi orang yang sentiasa positif.
Percayalah, apabila kalian pada posisi tenang, tenang dalam kerjaya dan keluarga — kalian tidak akan terfikir untuk berbuat kejahatan kepada orang lain.
Namun satu realiti kita tidak dapat tolak, betapa sulitnya hidup dalam lingkungan yang salah, rakan tidak baik, keluarga yang berantakan.
Lebih sulit apabila dikelilingi rakan-rakan yang tidak baik.
Apalagi di era media sosial, di zaman gosip yang tidak mahu PM tepi, makin makin sulit jadi orang baik.
Sebab itu, untuk menjadi manusia baik tidak hanya dengan niat.
Kita harus punya keberanian untuk bersikap dan berperilaku seperti manusia baik.
Bergaul dengan orang yang baik.
Memang, baik itu senang diucapkan.
Tapi sulit untuk direalisasikan. Kerana itu ia perlu sokongan daripada orang sekeliling.
Orang yang positif juga akan mempunyai peribadi unggul dan sentiasa tenang apabila berdepan dengan pelbagai masalah.
Kesimpulannya, sikap positif sememangnya diakui dapat menjadi pemangkin kejayaan seseorang apatah lagi jika sikap ini dapat dijelmakan dalam pengurusan organisasi dan kehidupan bermasyarakat.
Justeru, sikap positif akan mendorong semangat kerja berpasukan yang lebih baik dan sudah pasti ianya akan melahirkan lebih ramai individu, pekerja mahupun masyarakat yang bersikap positif untuk mencapai sesuatu kejayaan yang diinginkan.
