KUCHING: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo akan menghadiri Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) yang berlangsung di Sarawak pada 28 hingga 30 November depan.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, forum antarabangsa yang bertemakan ‘Inovasi dan Transformasi dalam Ekonomi Islam’ itu merupakan hab pengetahuan bagi kerajaan, syarikat dan masyarakat sivil untuk meneroka amalan terbaik dan inovatif dalam pelbagai domain seperti kewangan Islam, teknologi hijau dan pertanian.
“Ini juga platform yang ideal untuk menghubungkan antara dunia Islam dan masyarakat bukan Islam, sekali gus mewujudkan perkongsian lebih kukuh khususnya di Timur Tengah, Asia dan seluruh dunia.
“Untuk makluman, GMBF diasaskan oleh Institut Strategik (KSI) untuk Asia Pasifik, Dewan Perniagaan, Industri dan Pertanian Islam dan Global One,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan GMBF 2023 di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata, GMBF 2023 bakal menampilkan ucaptama oleh pemimpin dunia Islam, sesi pleno, bengkel, majlis anugerah dan makan malam gala.
Jelasnya, selain menggalakkan pertumbuhan pelaburan di negara Islam, forum itu juga membuka potensi sumber dan pasaran yang belum diterokai serta menjadi hab ilmu bagi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil di dunia Islam dan seterusnya.
“KSI ialah badan pemikir serantau terkemuka yang terletak di Kuala Lumpur, manakala Dewan Perniagaan dan Industri dan Pertanian Islam (ICCIA), sebuah institusi gabungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan wakil sektor swasta Muslim 66 buah negara.
“Dalam pada itu, ibu pejabat Global One di London pula merupakan NGO wanita yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pertubuhan ini komited dalam perkongsian antarabangsa, dialog, pembangunan mampan dan inklusif,” katanya.
