Sumbangan Huang ceriakan pesakit terlantar

SARIKEI: Tiga pesakit terlantar gembira menerima sumbangan katil boleh laras percuma daripada ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Mereka ialah Angel Tan Su Ching, 14, di Jelutong Barat yang terlantar sejak lahir selain dua warga emas, Ling Poh Ping, 75 dan Chieng Mee Ngik, 88.

Sumbangan disampaikan wakil beliau dari Pusat Khidmat N.45 Repok, hari ini.

Sumbangan sebahagian usaha murni untuk meringankan beban selain memudahkan keluarga penerima menguruskan mereka setiap hari.

Sehubungan itu, wakil beliau, Penghulu Huang Tiong Kang berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab sosial wakil rakyat itu membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

Sumbangan meringankan beban penerima.

“Sumbangan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Pemberian bantuan ini membuktikan keprihatinan Dato’ Sri yang sentiasa memberi tumpuan terhadap usaha meringankan beban golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata, ADUN Repok itu sentiasa komited untuk terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang layak.

Pada masa yang sama katanya, pelbagai keperluan lain juga diberi perhatian bagi memastikan nasib rakyat terbela.

“Ia termasuklah membangunkan infrastruktur dan meningkatkan prasarana pendidikan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat besar dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Sumbangan merupakan sebahagian khidmat sosial ADUN Repok bagi membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Suara Sarawak