Sumbangan Huang ringankan beban ibu bapa

SARIKEI: “Tidak ada perkataan yang mampu kami diucapkan selain terima kasih.” Demikian luahan penerima bantuan persekolahan di DUN N.45 Repok.

Pemberian berupa beg, pakaian seragam dan kasut itu disumbangkan ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii melalui Program Pembangunan Sahsiah Pelajar 2020 kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan beliau.

Selain Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist Anglo- Chinese, turut menerima sumbangan murid SK St Anne, SJK Kwang Chien, SJK St Martin, SJK Kiew Mang, SJK Sze Lu dan terkini, SJK Su Hing.

Sehubungan itu, bapa seorang pelajar, Ding Leh Hing, 30, tidak menyangka dapat sumbangan kelengkapan pakaian sekolah baharu untuk anaknya menjelang sesi persekolahan pertama tidak lama lagi.

Malah katanya, sumbangan itu dapat membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

“Sudah pasti, anak-anak saya gembira dan mereka semakin bersemangat untuk belajar. Saya amat bersyukur dan terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) yang sudi menghulurkan bantuan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Bagi Wong Mei Mei, 38, sumbangan tersebut amat besar maknanya kerana mampu membantu meringankan bebanannya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya membuka gerai secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan. Anak-anak yang masih bersekolah juga masih ramai. Sumbangan ini memang banyak membantu saya,” ujarnya.

Sehubungan itu, jurucakap Pusat Khidmat N.45 Repok, berkata, pihaknya terus melaksanakan program kebajikan pendidikan bagi membantu komuniti setempat.

“Kita berharap agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan khususnya bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya.

Dalam pada itu, ADUN Repok itu juga menyalurkan sebanyak RM600,000 bagi membantu menaiktaraf prasarana SJK Su Hing dalam tempoh tiga tahun.

Antaranya ialah mengantikan bumbung sekolah yang uzur, membina gelanggang sukan berbumbung dan pagar untuk sekolah terbabit.