ADA sesuatu yang berubah apabila Oktober tiba di Sarawak. Lazimnya cuaca yang kadang-kadang tidak menentu atau kalendar yang mula menghampiri penghujung tahun. Sebenarnya, Oktober seolah-olah membawa satu suasana yang tersendiri iaitu bulan regata.
Di beberapa tempat, sungai yang biasanya kelihatan tenang mula menjadi tumpuan. Bunyi enjin bot kedengaran lebih kerap, tebing sungai mula dipenuhi manusia dan cerita tentang pasukan yang bakal bertanding mula menjadi bualan.
Di kedai kopi, kaki lima, pondok menunggu dan di jeti, semua berbicara siapa laju, siapa juara, pasukan tumpuan dan hal-hal lain yang berkaitan. Begitulah suasana regata. Minggu ini, geliran Saratok pula mencuri perhatian.
Regata Sungai Krian sempena Pesta Saratok 2026 berlangsung ketika pekan kecil itu sudah mula menerima kunjungan orang ramai dari pelbagai tempat.
Sekali pandang, Saratok memang kelihatan jauh lebih sibuk daripada kebiasaan. Kenderaan bertambah, kedai-kedai mula menerima lebih ramai pelanggan dan kawasan sekitar pekan semakin sesak.
Kalau dibuat perbandingan secara berseloroh, mungkin boleh dikatakan Saratok ketika ini 10 kali ganda lebih meriah daripada hari biasa. Tetapi itulah lumrah pesta, orang datang bukan semuanya atas sebab yang sama.
Ada yang mahu menyaksikan regata, ada yang datang kerana pesta dan ada yang mengambil kesempatan untuk bertemu keluarga dan sahabat lama.
Ada juga yang mungkin tidak mempunyai tujuan khusus selain mahu melihat sendiri kemeriahan yang hanya muncul pada waktu-waktu tertentu seperti ini. Dan pada saya, di situlah sebenarnya nilai sebuah regata, bukan semata-mata tentang perlumbaan.
Bukan sekadar siapa yang menang dan siapa yang kalah, tetapi adalah tentang manusia dan tentang sungai yang menjadi sebahagian daripada kehidupan.
Juga tentang masyarakat yang berkumpul di satu tempat, peminat tegar yang teruja melihat perahu lumba meluncur laju di hadapan mata. Tentang ibu bapa yang membawa anak mereka untuk merasai sendiri suasana yang suatu hari nanti akan menjadi kenangan zaman kanak-kanak.
Dan tentang kawan-kawan lama yang mungkin hanya berkesempatan bertemu apabila ada acara seperti ini. Sungai pula menjadi pentasnya, tebing menjadi tempat penonton berkumpul dan perahu menjadi pelakonnya.
Sorakan orang ramai pula menjadi bunyi latarnya. Sebab itu, regata di Sarawak mempunyai tempat yang istimewa. Bagi banyak komuniti, sungai ialah sebahagian daripada sejarah, perjalanan, sumber rezeki dan kehidupan.
Maka apabila sungai itu bertukar menjadi gelanggang perlumbaan, masyarakat datang untuk meraikannya. Namun dalam kita menikmati kemeriahan itu, ada satu perkara yang jangan sampai tergelam dalam bunyi sorakan, iaitu keselamatan.
Alhamdulillah, keadaan cuaca ketika ini nampaknya semakin baik dan keadaan jerebu juga semakin pulih. Tetapi cuaca yang semakin baik jangan membuatkan kita terlalu selesa, lebih-lebih lagi apabila acara utama berlangsung di sungai.
Di tepi sungai, orang ramai biasanya mahu berada sedekat mungkin dengan aksi. Mahu nampak bot dengan lebih jelas, mahu mendapatkan gambar yang cantik, mahu merakam video ketika pasukan kegemaran meluncur laju.
Tidak salah, tetapi jangan sampai kerana mahu mendapatkan satu gambar yang menarik, kita meletakkan diri di tempat yang berbahaya.
Telefon pintar mahu boleh diganti, tetapi kalau berlaku sesuatu kepada kita, tidak ada butang ‘ulang semula’. Begitu juga dengan anak-anak. Kalau membawa anak kecil ke kawasan regata, jangan anggap mereka akan sentiasa berada di sisi kita.
Anak-anak cepat tertarik dengan sesuatu yang bergerak, berbunyi dan kelihatan menarik. Perahu yang meluncur laju di sungai tentu sahaja mengujakan, jadi, pegang tangan mereka.
Awasi pergerakan mereka. Jangan biarkan mereka terlalu hampir dengan tebing atau kawasan yang berisiko.
Kadang-kadang hanya dalam beberapa saat, sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku. Beberapa saat itu mungkin tidak boleh diputar kembali.
Bagi mereka yang berada di atas air pula, peralatan keselamatan bukan hiasan. Mislanya jaket keselamatan jangan dipandang sebagai aksesori. Ia bukan sesuatu yang dipakai kerana mahu mematuhi arahan semata-mata, tetapi merupakan asas apabila berada di atas air.
Kita mungkin biasa dengan sungai, mungkin sudah bertahun-tahun menaiki bot, mungkin rasa kita sudah cukup mengenali sungai. Ingat, keadaan boleh menjadi tidak dijangka.
Apa-apa yang kelihatan tenang dari tebing belum tentu sama keadaannya apabila kita berada di tengah sungai. Sebab itu, kemahiran dan keselamatan mesti berjalan seiring.
Kita mahu sorakan bergema, mahu tebing sungai dipenuhi penonton, mahu regata menjadi kenangan indah. Tetapi kita juga mahu apabila matahari mula terbenam dan acara selesai, semua orang pulang ke rumah masing-masing. Itu yang paling penting.
Pesta Saratok 2026 dalam bentuk tersirat mengajai wajah Sarawak yang diperlihatkan kepada pengunjung. Pekan yang mungkin hilang biasa pada hari-hari lain, tetapi tiba-tiba berubah wajah apabila pesta berlangsung.
Gerai bertambah, orang ramai bertambah, aktiviti bertambah dan Sungai Krian pula menjadi antara nadi utama kemeriahan itu.
Jadi, kalau datang ke Saratok minggu ini, nikmatilah suasana. Datang dengan hati yang gembira. Bersabarlah dengan jalan sesak dan bersabarlah mencari tempat untuk parkir kenderaan.
Kalau berdiri di tepi sungai, beri ruang kepada orang lain. Kalau berada di atas air, gunakan peralatan keselamatan. Dan kalau mahu mengambil gambar, pastikan kita tidak perlu mempertaruhkan keselamatan diri hanya untuk mendapatkan satu sudut yang cantik.
Kita datang untuk menikmati pesta, juga datang untuk menyokong regata, datang untuk bertemu orang serta datang untuk mencipta momen-momen indah. Bukan untuk mengambil risiko.
Biarlah Oktober terus menjadi bulan regata yang dinanti-nantikan di Sarawak. Biarlah Sungai Krian terus bergema dengan bunyi enjin, sorakan penonton dan semangat persaingan.
Biarlah orang datang dari jauh dan dekat untuk menikmati Pesta Saratok, dan Saratok terus meriah. Dan biarlah kemeriahan itu sentiasa datang bersama tertib dan kewaspadaan.
Kerana ukuran sebuah pesta yang berjaya bukan hanya pada berapa ramai yang datang, bukan hanya pada berapa banyak sorakan yang kedengaran, bukan hanya pada siapa yang menjadi juara.
Tetapi juga pada bagaimana semuanya berakhir dan kita mahu Oktober dikenal sebagai bulan regata. Bukan sebagai bulan yang terpaksa dikenang kerana sebuah tragedi.
Jadi, datanglah ke Saratok meraiakan regata. Kita datang untuk mencipta kenangan, bukan untuk mencipta ‘Tragedi Oktober’.
Dan apabila semuanya selesai, biarlah kita pulang membawa cerita tentang perlumbaan yang hebat, suasana yang meriah dan pertemuan yang menggembirakan.



