Trending

Sungai Matu kembali hidup

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MATU: Setelah lama menyepi, Sungai Matu yang sebelum ini ‘sunyi’ selepas daerah itu menikmati kemudahan jalan raya kembali hidup.

Penganjuran Regata Mini Matu 2023 yang menyajikan acara perlumbaan perahu bidar bukan sahaja menjadi penarik kehadiran pengunjung tetapi juga menambah kemeriahan tebingan sungai itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, walaupun pelumbaan perahu bidar itu diadakan secara kecil-kecilan namun, sambutannya amat menggalakkan.

Malah katanya, buat pertama kalinya penganjur menyediakan piala pusingan yang menjadi simbolik penganjurannya sebagai acara tahunan pada masa akan datang.

“Ini merupakan salah satu inisiatif untuk mempromosikan keunikan Matu kepada pengunjung luar di samping memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri aktiviti kemasyarakatan di daerah ini.

“Pada masa yang sama, kita juga mahu menyediakan ruang dan peluang ekonomi kepada penjaja kecil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Juanda yang juga ADUN Jemoreng berkata, kejayaan penganjuran acara itu adalah lambang kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Di samping itu katanya, ia juga menjadi simbolik permuafakatan antara pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dengan agensi kerajaan.

“Saya melihat program ini amat berjaya, menyatukan penduduk di kawasan kita, sambutan luar biasa menyuntik semangat penganjur melakukan penambahbaikan di samping meneruskan penganjurannya pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum dibangunkan, Sungai Matu merupakan nadi perhubungan dan punca pendapatan utama penduduk.

Penganjuran acara itu juga dilihat sebagai menghidupkan kembali tradisi di samping memeriahkan semula Sungai Matu, yang dilihat semakin sepi berikutan tiada lagi aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad berkata, pada edisi kali ini, Pesta Matu menyenaraikan sekurang-kurangnya 18 acara termasuk perlumbaan perahu bidar.

“Pada tahun ini juga, kita menyediakan 107 gerai jualan, 70 peratus dalam kalangan mereka adalah peniaga tempatan manakala selebihnya dari luar daerah ini,” katanya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru