Sungai Rian jadi pusat riadah

SIMUNJAN: Usaha akan dilakukan bagi membangunkan kemudahan infrastruktur yang lebih baik di Sungai Riam dekat Kampung Kepayang di sini.

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan Sungai Rian terus menjadi antara pusat tarikan pelancong yang menarik di Sarawak.

Katanya, antara kemudahan asas yang perlu dilaksanakan di kawasan rekreasi ini ialah menaik taraf jalan masuk, mengindah dan membersihkan kawasan Sungai Rian dan penyediaan tempat persalinan, bilik air dan tandas yang lebih sempurna.

“Saya yakin apabila kemudahan asas ini dilaksanakan kelak ia bukan sahaja menjadikan Sungai Rian sebagai pilihan penduduk tempatan atau dari luar negara untuk beriadah tetapi boleh menjamin keselamatan dan keselesaan semua pengunjung yang datang ke Sungai Rian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya pada acara jamuan ringan ketika menyertai rombongan pemuda PBB Zon Gedong berbasikal dengan jarak kira-kira 80 kilometer dari Gedong ke Kampung Kepayang pada Sabtu.

Adun Gedong itu berkata, usaha membangunkan kawasan Sungai Rian sebagai pusat tarikan pelancong telah disenarai dalam Program Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri yang juga pengerusi bagi sektor pembangunan pelancongan dalam IRDA.

Menurutnya, IRSDA adalah sebuah agensi Kerajaan Sarawak yang diwujudkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membangunkan kawasan Samarahan termasuk Gedong dalam pelbagai bidang seperti pertanian, pelancongan, pembangunan infrastruktur dan saliran air dan perparitan.

IRSDA dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah manakala Mohd Naroden mengetuai jawatankuasa pembangunan pertanian IRSDA. Turut hadir ialah Temenggong Anthony Nyipa, Penghulu Najib Arbi dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB N.26 Gedong, Jamil Abong.