Sungai Tellian tumpuan kaki pancing udang

MUKAH: Sungai Tellian yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari Bandar Mukah dipercayai mempunyai potensi dan merupakan lubuk pancing terutamanya kepada kaki pancing.

Sungai ini sudah mula menjadi tumpuan kaki pancing setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, namun mereka tetap mematuhi prosedur operasi standard SOP yang ditetapkan pada PKP Pemulihan.

Sungai Tellian juga yang terkenal dengan kebersihannya yang memiliki air berwarna hitam kemerahan dan mampu menjadi tarikan kepada kaki pancing dari dalam dan luar Mukah.

Got Lai, salah seorang kaki pancing yang pernah dan sering menjadikan Sungai Tellian sebagai tempat memancing berkata, kini musim udang galah dan Sungai Tellian merupakan destinasi tepat.

“Disebabkan air sungai ini bersih dan terpelihara daripada aktiviti kurang sihat, udang galah dan ikan yang ada di sini sentiasa segar.

“Kurangnya pencemaran air sungai, rasa udang galah yang ditangkap dari sungai ini sangat berbeza dari tempat yang lain.

“Tambahan pula harga udang di Mukah masih murah berbanding bandar lain yang dijual pada harga sekitar RM70 hingga RM100 sekilogram dalam pelbagai saiz,” jelasnya.

Menurut Got lagi, hasil tangkapan di Sungai Tellian secara langsung membantu meningkatkan pendapatan penduduk kampung yang menyewakan bot untuk memancing dan sebagainya.

“Kepada penggemar aktiviti memancing di sungai, anda boleh berkunjung ke Daerah Mukah dan Kampung Tellian untuk mencari tempat yang sesuai memancing,” katanya.