Suntikan vaksin bermula hari ini

KUCHING: Sarawak akan memulakan vaksinasi Covid-19 untuk petugas barisan hadapan di Kuching dan Sibu pada Jumaat ini (hari ini).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, fasa pertama vaksinasi menggunakan 23,400 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech, yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan.

“Terima kasih Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Persekutuan kerana memastikan bahagian vaksin yang diperlukan Sarawak akhirnya diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 bagi Sarawak di Gudang Raya Airway (DHL), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, pada Rabu.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, Kerajaan Sarawak merancang untuk memberi vaksin kepada sekitar 2.2 juta orang rakyat Sarawak.

“Kami berharap dapat menvaksinasi seluruh rakyat menjelang Ogos, ini sangat bercita-cita tinggi tetapi kita perlu memastikan ia dapat dicapai,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Sarawak agar mendaftar untuk divaksinasi sama ada menerusi aplikasi MySejahtera, Pejabat Daerah dan Pejabat Residen.

Dalam pada itu, Uggah berkata, Pejabat Residen dan JPBNS kini bekerja rapat dengan Jabatan Kesihatan untuk menyediakan logistik bagi memastikan rakyat di pedalaman turut mendapat vaksin.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga telah meluluskan RM30 juta untuk menguruskan logistik bagi penghantaran vaksin di Sarawak.

Menjelas lanjut, beliau berkata, penghantaran vaksin di seluruh negeri ini, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman akan menggunakan jalan darat. Katanya, penghantaran tidak dapat menggunakan udara, sama ada helikopter atau kapal terbang kerana terdapat beberapa spesifikasi keperluan.

Suara Sarawak