Suntikan vaksin Pfizer- BioNTech selamat, daftarlah di MySejahtera- Ketua Menteri

KUCHING: “Suntikan vaksin Pfizer- BioNTech selamat dan saya berasa cergas”, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkongsi pengalaman terbabit setelah menerima suntikan pertama vaksin Pfizer- BioNTech pada Jumaat lalu bersama-sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian.

“Saya dijadualkan menerima dos kedua vaksin yang sama pada 19 Mac nanti.

“Bagi individu yang tidak mempunyai isu kesihatan, mereka perlu menerima vaksin ini.

“Maka, pesanan saya jangan takut untuk mendaftar untuk menerima vaksin berkenaan yang telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya ketika melancarkan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan di Stadium Perpaduan di Petra Jaya hari ini.

Tambah Abang Johari, penduduk Sarawak boleh mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau pejabat daerah atau klinik kesihatan, ketua kaum atau kapitan di tempat masing-masing untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Suara Sarawak