SUPP intai portfolio Menteri Kewangan Kedua

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu jawatan Menteri Kewangan Kedua Sarawak yang bakal dikosongkan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh dikembalikan kepada parti berkenaan.

Ketua Pemudanya Micheal Tiang berkata, ia sebagai reaksi kepada bekas Presiden SUPP Tan Sri George Chan Hong Nam yang menyatakan bahawa jika masyarakat Cina diberi kedudukan sebagai Menteri Kewangan Kedua, ia akan menjadi lebih baik.

George Chan jelasnya, turut mencdangkan SUPP diberikan peluang menyandang jawatan tersebut.

“Selepas peletakan jawatan Soon Koh, akan ada kekosongan dalam Kabinet Sarawak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg perlu merombak dan menyusun semula kabinet,” katanya.

Tiang yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, adalah lebih baik sekiranya SUPP diberikan lebih kedudukan dalam tugas membantu Ketua Menteri kerana parti ini telah lama bertapak.

“Selain itu, SUPP juga telah lama bersama-sama Kerajaan Sarawak dalam susah dan senang.

“Kesetiaan kami tidak pernah goyah kepada kerajaan dan parti gabungannya,” kata beliau lagi.

Menurutnya, SUPP terbukti menjadi rakan kongsi yang baik kepada GPS.

“Portfolio ini merupakan prerogratif Ketua Menteri dan saya percaya dengan tambahan orang Cina dalam kabinet, ia akan mencerminkan kepelbagaian di Sarawak.

“Negeri ini boleh menunjukkan kepada Malaysia bahawa kita sememangnya keluarga besar yang bersatu padu dari segi hidup dan sentiasa bekerjasama,” jelasnya.

Katanya awatan itu dan lain-lain membolehkan parti itu berkhidmat dengan lebih efisien untuk rakyat dan mendatangkan impak positif untuk GPS.

Suara Sarawak