IPOH: Industri surat khabar di negara ini masih relevan dan diperlukan dalam kancah media masa kini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya meskipun kini banyak platform media sosial yang turut memaparkan berita terkini namun beliau masih memilih untuk membaca akhbar secara fizikal.

“Saya masih setiap hari membaca surat khabar…satu perkara yang wajib saya teruskan.
“Saya masih memiliki pandangan, surat khabar masih mempunyai peranan yang tinggi dan wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini hari ini, yang turut dihadiri seramai 13 wakil pengamal media Sarawak.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Justeru bagi memastikan industri surat khabar kekal relevan dan tidak pupus, Perdana Menteri menggesa penggiat industri itu menggarap nilai integriti yang tinggi, selain mengekalkan kualiti dalam penerbitan berita.
“Saya terbaca satu keputusan baharu di Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan bahawa pandangan beberapa media kalau dipertahankan integriti, mutu mampu bertahan,” katanya.
Sempena majlis, beliau yang juga Menteri Kewangan bersetuju untuk menyalurkan bantuan awal Tabung Kasih HAWANA sebanyak RM1 juta.
Perdana Menteri juga menyampaikan bantuan kepada tiga penerima Tabung Kasih HAWANA dalam kalangan pengamal media.
Mereka adalah bekas wartawan beberapa akhbar Cina, Ou So Ha @ Ou Kok Meng, 74; wartawan sambilan akhbar Tamil, V Maniam, 76, dan editor portal berita, Haron Shafei, 65.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah HAWANA 2023 kepada Datuk Mohammad Nor Khalid atau terkenal dengan panggilan Datuk Lat.