Surau Darul Ihsan aktif damping masyarakat

DARO:  Surau Darul Ihsan Badong aktif merangka program dalam usaha mendampingi masyarakat selain memikat golongan muda bagi mengimarahkan surau tersebut.

Pengerusinya, Abang Shamsure Abang Wahab, berkata, usaha itu sejajar dengan matlamat untuk mengangkat peranan surau supaya tidak hanya dilihat sebagai tempat beribadah semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai platform penyatuan ummah.

“Kita telah menyusun pelbagai aktiviti termasuk berusaha menambahbaik keadaan surau. Kesemua perancangan itu akan dilaksanakan tahun ini.

“Antaranya termasuklah, gotong –royong, pertandingan membaca surah Al-Fatihah, kem anak soleh, kursus pengacaraan majlis, ziarah kasih, pertandingan street soccer dan lain-lain lagi,” katanya.

Abang Shamsure memberitahu, jawatankuasa surau turut mengadakan mesyuarat pengurusan sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi memastikan kelancaran setiap program yang dirancang di samping membincangkan isu-isu yang berkaitan.

MANTAP … Shamsure (tengah) bersama jawatankuasa pengurusan Surau Darul Ihsan Kampung Badong Daro

“Dalam setiap program yang dianjurkan, kita melihat persekitaran secara keseluruhan termasuk pembangunan masyarakat sekeliling terutama anak-anak muda.

“Justeru, kita memanfaatkan peluang ada untuk menganjurkan program melibatkan kerjasama dan permuafakatan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan Ramadan, beliau memberitahu, Surau Darul Ihsan akan mengadakan pelbagai program sepanjang sambutan bulan mulia itu.

Selain menyerikan sambutan Ramadan dengan tadarus al-Quran katanya, pihaknya juga akan mengadakan majlis berbuka puasa, solat berjemaah dan lain-lain lagi.

“Bagi kami surau adalah permulaan kepada apa sahaja perkara yang baik dan berfaedah termasuk mengeratkan silaturahim.

“Sudah pasti kami meneruskan Program Ziarah Kasih untuk mendampingi mereka yang kurang berkemampuan. Tumpuan tidak hanya diberikan kepada pembangunan fizikal surau semata-mata sebaliknya, turut menekankan perkembangan anak kariah,” katanya.

Barisan jawatankuasa pengurusan Surau Darul Ihsan

 

Mesyuarat pengurusan jawatankuasa pengurusan surau