Suri rumah antara yang ditahan disyaki mengedar dadah

LAWAS: Seorang suri rumah bersama lima lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di sekitar kawasan ini.

Semua suspek yang berusia antara 22 hingga 47 tahun ditahan dalam sebuah rumah di Kampung Kerangan selepas diserbu pasukan operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak yang bertindak atas maklumat dan risikal pada 12 Mei lalu, sekitar jam 8.45 malam.

Menurut Ketua JSJ Narkotik IPK Sarawak, Superintenden Sahar Abd Latif, sejumlah 22.80 gram dadah jenis syabu dirampas dalam serbuan tersebut, yang dianggarkan bernilai RM10,515.

“Hasil pemeriksaan pada badan salah seorang suspek berusia 23 tahun menjumpai tabung besi kecil yang digantung pada tali pinggang seluarnya dan apabila diperiksa, ia mengandungi satu keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.2 gram.

“Pasukan serbuan juga membuat pemeriksaan di dalam bilik ketiga rumah tersebut dan menjumpai satu bekas plastik warna hitam di atas kabinet almari dan apabila diperiksa ia mengandungi 17 keratan tiub straw berisi ketulan-ketulan kristal disyaki syabu seberat 4.75 gram.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan juga turut menjumpai satu kotak warna hitam di atas lantai bawah meja, yang di dalamnya terdapat dua paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki syabu yang berat kasar 17.85 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Sahar, kesemua mereka yang terlibat dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lawas untuk siasatan lanjut dan ditahan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.

Suara Sarawak