Trending

Suri rumah jadi usahawan kuih kering

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

DEBAK: Dulu suri rumah sepenuh masa, kini bergelar usahawan.

Nak seribu daya, tak nak seribu dalih dan itulah yang dibuktikan oleh suri rumah dari Kampung Bungey Hilir, Amy Syuhaida Tio. Dalam tempoh empat tahun, setelah bergelumang dengan beberapa kali kegagalan, beliau kini mampu sebaris rakannya yang turut mengusahakan pembuatan produk yang sama.

“Semuanya bermula daripada hobi. “Azam saya membantu menambah pendapatan keluarga akhirnya berjaya mengubah peranan seorang isteri daripada bergelar suri rumah tangga sepenuh masa kepada pengusaha produk makanan yang menguntungkan,” akuinya yang mula berjinak-jinak dengan produk ‘kuih kering’ di Saribas pada akhir 2017.

Menyebut tentang kuih kering, ibu berusia 40 tahun itu menghasilkan sembilan jenis produk hasil air tangannya sendiri, antaranya Kacang Madu, Kacang Botak, Kacang Kefci, Kacang Bersambal Pedas Manis, Kacang Daun, Rempeyek Berempah, Popia Sambal, Ketop Mi dan Maruku.

“Semua saya buat sendiri, masak, membungkus dan menghantar kepada pelanggan.

“Dulu saya bermula setelah melihat ramai jiran yang berjual dan dari situ timbulnya minat… tambahan saya memang suka memasak.

“Maka, saya cuba dan kerapa kali gagal.

Namun, hati saya keras untuk tidak berputus asa.

“Ketika itu dengan kesempitan hidup, semangat saya mencuba tidak pernah luntur
sehingga suatu ketika, saya belajar daripada kakak, akhirnya berjaya.

“Sejak itu saya mengubah sedikit demi sedikit apa yang saya belajar agar produk dihasilkan berbeza dan ‘ngam’ dengan cita rasa semua.

“Syukur, sembilan produk utama yang saya buat dan jual itu mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan.

Mereka kata, rasanya lain daripada yang lain,” ujarnya.

Katanya, paling laku ialah Rempeyek Berempah, Ketop Mi, Maruku dan Kacang Botak.

Bercerita lanjut tentang pendapatan, isteri kepada Mohamad Ali Seruji itu mengakui pendemik Covid-19 turut memberi kesan besar kepada perusahaannya.

“Purata setiap hari boleh dapat RM100, ada kalanya lebih RM200… ada juga tiada langsung.

Jika ada yang memborong, ada juga lebihan pendapatan.

“Namun, akibat Covid-19 lebih setahun ini, jualan memang menurun kerana pergerakan tersekat.

Berbanding sebelum ini, saya bebas menghantar ke mana sahaja.

“Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya mula aktif menggunakan perkhidmatan pos untuk pelanggan jauh khususnya bahagian lain di Sarawak dan Semenanjung,” jelasnya.

Kini, ibu kepada empat cahaya mata itu membuka tempahan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.

Katanya, jumlah tempahan raya sebelum Covid-19 sangat lumayan.

“Dalam senario pandemik ini, ada memang ada tetapi jauh perbezaannya kerana orang berpandangan, mungkin tiada sambutan raya, maka mereka tidak menempah,” jelasnya.

Ditanya tentang persaingan, beliau menganggap ia sebagai sesuatu yang bersih.

“Di sini ramai pengusaha lain, maka kita harus bijak menggunakan teknologi.

Saya kerap memanfaatkan kemudahan secara dalam talian yang lebih mudah dan meluas.

“Jika dulu kita yang mencari pelanggan, kini mereka yang menghubungi kita – saya ada sembilan pelanggan tetap yang akan membeli secara borong untuk mereka jual di kedai masing-masing,” katanya.

Amy mengakui mempunyai angan-angan yang besar untuk memastikan produk kuih kering dari Saribas yang dijualnya dapat dipasarkan ke seluruh Sarawak dan Semenanjung.

Difahamkan, beliau pernah mendapat bantuan daripada Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berupa peralatan membuat kuih kering seperti dapur, bekas penyimpanan kuih, kuali dan lain-lain.

Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu mempromosikan produknya sehingga lebih dikenali ketika ini.

Mengakhiri perbualan, Amy mengucap syukur kerana masih dikurniakan Allah SWT rezeki untuk dirinya dan keluarga.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru