PADAWAN: Seorang suri rumah berputih mata selepas terjerat oleh cinta jejaka kononnya dari United Kingdom, sehingga menjadikannya mangsa ‘Love Scam’ dan mengalami kerugian RM10,450.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abg Ahmad berkata pada 21 Ogos lalu, mangsa warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 50-an diperdaya oleh suspek dengan cara kononnya atas dasar cinta, dengan menghantar satu bungkusan wang yang banyak.
“Suspek kemudian meminta mangsa membayar wang pelepasan sebanyak RM9,850 bagi melepaskan bungkusan kiriman itu daripada ditahan pihak Kastam.
“Mangsa diminta membuat bayaran ke akaun Hong Leong Bank bernombor 1185115XXX atas nama Dynisiah Sitor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta lagi membuat bayaran sebanyak RM27,500 untuk tujuan ‘Anti-Money Laundering Certificate Requirement’ namun mangsa hanya membayar RM600 kepada suspek melalui aplikasi i-Tunes menggunakan telefon bimbit.
Menjelas lanjut, Abang Zainal berkata mangsa berhubung dengan suspek, yang menggunakan nama Aaron Richard menerusi Instagram dan juga Whatsapp yang merupakan nombor talian asing.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar jangan mudah percaya dengan kata-kata manis yang diucapkan oleh orang yang baru sahaja dikenali lebih-lebih lagi melalui Instagram atau Whatsapp.
“Sentiasa berwaspada dengan modus operandi penjenayah ‘Love Scam’ terutama ketika berhubung secara dalam talian tanpa berjumpa bersemuka kerana kita tidak mengetahui identiti sebenar individu yang kononnya telah jatuh cinta dan akan sehidup semati hingga sanggup menghantar wang yang banyak,” katanya.
Beliau menambah kaum wanita terutamanya dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih kenalan.
Abang Zainal berkata orang ramai boleh membuat semakan nombor akaun yang diberikan oleh pemanggil bagi mengesahkan pemilik akaun berkenaan sama ada terlibat dalam kes jenayah atau sebaliknya.