Suspek curi kereta ditangkap

KOTA SAMARAHAN: Tiga lelaki dan seorang wanita ditangkap kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes curi kereta di sini.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun ditangkap oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJ IPD) Kota Samarahan kira-kira jam 8 malam tadi.

“Pasukan BSJ IPD Kota Samarahan telah memintas dan menyerbu sebuah kereta di Taman Desa Ilmu, Jalan Datuk Mohd Musa dan menangkap keempat-empat suspek di dalam kereta itu, yang disyaki terlibat dalam beberapa kes curi kereta di daerah ini.

“Kesemua suspek yang merupakan orang tempatan telah dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah rampasan turut di buat iaitu sebuah kereta kancil termasuk rim dan aksesori yang dipasang pada kereta yang digunakan kesemua suspek, serta pemutar skru yang dipercayai digunakan untuk pecah kereta.

Sudirman berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

“Hasil siasatan awal, pihak polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes curi kereta di dalam Daerah Kota Samarahan,” katanya.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan suspek untuk mencuri kereta adalah dengan membuat lubang kecil pada cermin kereta menggunakan pemutar skru untuk membuka pintu kereta dan kemudian menghidupkan enjin menggunakan pemutar skru yang sama.

Sudirman berkata kereta yang dicuri akan dibawa ke tempat yang sunyi dan suspek akan mengambil komponen serta aksesori untuk diguna sendiri dan dijual.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan bersabit beberapa kes yang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak