Suspek lelaki kes bunuh tukang jahit berhadapan pertuduhan membunuh

KUCHING: Suspek lelaki kes bunuh seorang tukang jahit yang mayatnya ditemui di dalam bagasi di Kampung Pengkalan Baik, Bau dihadapkan pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Bau, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata pertuduhan terhadap suspek dikenali Chong Kong Liang, 28, dibacakan di hadapan Majistret Noraine Ahmad.

“Suspek dihadapkan dengan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut Denis, sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Ogos ini di Mahkamah Majistret Bau.

Katanya tertuduh turut dilanjutkan tempoh reman dan dihantar ke Penjara Puncak Borneo sementara menunggu sebutan semula kes.

Lelaki terbabit yang merupakan suspek pertama ditahan setelah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada hari yang sama penemuan mayat tersebut, 19 Julai lalu.

Manakala, Denis berkata suspek kedua, seorang wanita berusia 56 tahun yang turut dibicarakan di mahkamah sama hari ini, dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dengan jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin.

Wanita terbabit ditangkap di Stampin oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Polis juga sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Wong Chong Ming, 43, beralamat di Lot 937, Jalan Nangka 1, Pujut 1A, Miri dan adalah suspek ketiga kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.