ARTIKEL

Suspek rempuh kenderaan polis diburu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak sedang memburu suspek yang berjaya meloloskan diri, meskipun tembakan telah dilepaskan ke atas kenderaan yang digunakannya selepas merempuh kereta pasukan polis di Jalan Bau-Krokong, di sini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 pagi semalam, semasa sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sedang menjalabkan tugas Op Lejang Khas dan mengekori sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila hendak menahan kenderaan yang dipandu suspek, kenderaan itu telah merempuh kenderaan anggota polis menyebabkan anggota polis terbabit melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu bagi mempertahankan diri namun suspek berjaya meloloskan diri menuju ke aras Krokong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Mancha berkata hasil siasatan awal, kenderaan jenis Toyota Land Cruiser yang dilaporkan hilang di Daerah Kuching itu dijumpai ditinggalkan di sebuah jalan ladang kelapa sawit Ledan Gumbang.

Justeru, Mancha meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan tampil menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Chew Cher Shin di talian 017-9682819.

“Pihak polis masih berusaha mengesan suspek yang melarikan diri dan orang ramai juga dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU