MUKAH: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita di pusat peranginan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, suspek tang berusia 52 tahun itu adalah orang yang terakhir dilihat berjumpa dengan mangsa.
Katanya, dengan tertangkapnya lelaki yang merupakan suspek utama tersebut, kes dianggap selesai.
“Penahanan dibuat selepas polis melakukan siasatan dan mendapatkan maklumat. Lelaki itu ditahan di dalam sebuah rumah di sebuah taman perumahan pada jam 1.40 petang.
“Dia kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu ujar beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerima maklumat seorang wanita tempatan dilaporkan meninggal dunia di dalam satu bilik di sebuah tempat peranginan kira-kira jam 12.35 tengah hari.
Berikutan katanya, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah telah bergegas pergi ke tempat Kejadian.
“Hasil siasatan awal terhadap tubuh badan mangsa mendapati adanya kesan cedera dalaman di bahagian leher dan pinggang sebelah kiri.
“Mangsa merupakan seorang ibu tunggal berumur 44 tahun, mempunyai dua orang anak yang beralamat di sibu. Mangsa mendaftar masuk ke tempat peranginan berkenaan bersama anak-anaknya sehari sebelum kejadian,” katanya.