Suspek utama kes bunuh di RPR Batu Kawa ditangkap

KUCHING: Seorang lelaki dipercayai suspek utama kes bunuh di kawasan sebuah kedai berhampiran Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa Fasa Dua ditangkap sekitar pukul 10.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, suspek berjaya dikesan hasil pemeriksaan pasukan rondaannya terhadap sebuah rumah kediaman di Lorong 2C2 Taman Everbright Estate, Batu Kawa.

Menurutnya, suspek pada mulanya cuba menyembunyikan identiti daripada pihak polis dengan mengenakan baju melayu namun tindakannya gagal.

“Hasil maklumat dan risikan awal, anggota dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) kita berjaya mengesan kenderaan digunakan suspek ketika kejadian berada di halaman sebuah rumah berhampiran kawasan Everbright Estate.

“Setelah menemu bual dua penghuni rumah berkenaan, pasukan telah mengenal pasti salah seorang daripadanya yang bernama Moses, 25 tahun merupakan suspek utama kejadian manakala seorang lagi dipercayai rakannya berusia 37 tahun,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek seterusnya ditahan dan kini berada di lokap Siburan bagi siasatan lanjut dilakukan.

Dedahnya, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Viva, satu telefon bimbit, sepasang kasut dan topi di lokasi tangkapan.

Sementara itu, dedahnya, suspek kini masih lagi disoal siasat bagi membantu mengesan senjata pisau yang digunakan sebagai alat untuk membunuh mangsa dikenali sebagai Abang Hisalihin Bahthika, 37 tahun.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah Aidil, suspek akan dibawa dan dibicarakan ke Mahkamah Kuching pada 19 Februari (esok).

Terdahulu, mangsa ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman di badan oleh orang awam sekitar jam 3.48 pagi di lokasi kejadian.

Hasil bedah siasat pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) mendapati si mati mempunyai luka selebar 2.5 cm pada sebelah dada kiri belakang, dua luka di belakang bahagian atas rusuk kiri, dua luka di bahagian bawah selebar 4.2 cm dan 2.1 cm.

Suara Sarawak