Suspek utama rompakan Taman Juta Ria, Matang diburu

KUCHING: Polis mengesan lelaki dipercayai suspek utama kes rompakan baru-baru ini di Taman Juta Ria, Jalan Matang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, lelaki dikenali sebagai Amir dipercayai suspek utama kes tersebut.

Lim berkata, tiga suspek lain yang terlibat ditahan polis dalam tempoh 24 jam pada hari kejadian.

“Kawad cam dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek (dan) disahkan terlibat dalam rompakan tersebut.

“Ketiga-tiga suspek juga mengaku terlibat dalam kejadian bersama-sama seorang lagi suspek dikenali sebagai Amir.

“Amir salah seorang daripada tiga suspek yang memecah masuk rumah mangsa, sementara seorang lagi suspek berada di luar,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman tujuh hari 4-11 April.

Jelasnya, jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Lim turut berkata, hasil siasatan terhadap suspek yang ditangkap, polis masih mengesan Amir yang dipercayai suspek utama kes ini.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Stiffan di 014-6750181.

Suara Sarawak