Susu unta, susu kambing dicampur dadah berjaya dirampas

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, 4 Jun lepas.

Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata hasil penahanan kontena pada 1 tengah hari itu, pihaknya menemukan sejumlah paket produk susu unta dan susu kambing pracampuran keluaran tempatan yang turut mengandungi dadah ketamin dengan berat kasar 2,500 kilogram atau 2.5 tan, yang dianggarkan berjumlah RM100 juta.

“Kontena 20 kaki (6.096 meter) itu tiba dari sebuah pelabuhan di Asia Selatan. Turut ditahan seorang lelaki warga asing berumur 55 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang disyaki terlibat dalam rangkaian sindiket antarabangsa ini.

“Hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan yang diikrar sebagai serbuk susu unta dieksport keluar dari negara pada akhir 2019. Kandungan di dalam kontena tersebut dipercayai telah ditukar kepada dagangan yang hampir serupa tetapi diisi dengan campuran serbuk disyaki mengandungi dadah ketamin sebelum diimport semula,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di JKDM Cawangan Narkotik, di sini yang turut dihadiri Penolong Ketua Pengarah Kastam Datuk Johari Alifiah dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Koh Joo Kai.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman 10 hari bermula 4 Jun lepas bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menyifatkan rampasan itu sebagai kejayaan terbesar JKDM dalam konteks dadah tahun ini, Abdul Latif berkata ia merupakan kes pertama kali modus operandi menggunakan produk pracampuran berbanding sebelum ini yang melibatkan produk teh.

“Bahkan ini juga kali pertama produk ditolak oleh negara penerima dan dihantar semula ke negara ini dan kami percaya produk ini telah dicampur dengan dadah di negara penerima,” katanya.– BERNAMA