Susulan individu positif Covid-19 lari, penumpang bas Sibu ke Serian dicari

KUCHING: Empat wanita warga asing yang positif Covid-19 di Sibu kini berada di Entikong, Indonesia selepas bertindak melarikan diri menerusi jalan tikus di kawasan itu semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kejadian berkata semua suspek dilaporkan telah menaiki bas dari Sibu ke Serian sebelum dipercayai keluar Sarawak menggunakan jalan tidak sah tersebut.

Menurutnya, keempat-empat suspek dipercayai telah pun berada di Entikong hasil siasatan penjejakan lokasi menerusi nombor telefon milik salah seorang suspek oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

“Setakat ini kita sedang mengenal pasti sama ada mereka (suspek) betul-betul sudah keluar ke Entikong atau pun masih berada di Sarawak.

“Siasatan kes kini sedang dijalankan. Walaubagaimanapun, difahamkan suspek sudah memasuki Indonesia,” katanya dalam sidang media di pekarangan Pusat beli-belah Bouliverd hari ini.

Tambah Aidi, siasatan lanjut akan turut dikenakan terhadap seorang individu warga tempatan yang dipercayai merupakan ejen membantu suspek melarikan diri ke Entikong.

Dedah Aidi, suspek pada soal siasat awal mengaku bahawa dia tidak mengenali kesemua suspek terbabit dan hanya membantu mereka untuk balik ke Entikong sahaja.

Katanya, suspek (ejen) kini masih dalam proses kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu katanya pihaknya kini turut membantu mengesan mana-mana individu yang berkontak rapat khususnya penumpang bas Sibu-Serian dan juga orang awam yang berada di Entikong semalam.

Suara Sarawak