Susulan kakitangan positif Covid-19, 14 kakitangan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu gagal menurut arahan untuk calitan, tindakan tegas bakal diambil

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan ke atas kakitangannya yang masih gagal menjalani ujian calitan Covid-19.
Kaunselor Sempurai Petruz Ngelai berkata, ini susulan seorang kakitangannya yang disahkan positif pada Khamis lalu.
Beliau turut mendedahkan hanya 77 kakitangannya daripada 91 orang membuat calitan sebelum ini manakala 14 kakitangannya lagi masih gagal berbuat demikian.
“Sekiranya mereka masih enggan melakukannya, kami akan membuat laporan kepada pihak berkuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
“Pada masa yang sama tindakan tatatertib juga akan diambil,” katanya sebentar tadi.

Beliau menegaskan tiada alasan bagi 14 kakitangan terbabit untuk tidak menjalani ujian calitan.
Sempurai turut terkejut mengenai tindakan mereka yang gagal menjalani ujian tersebut.
Katanya, di bawah prosedur operasi standard (SOP) semua kakitangan MDLBS wajib melakukan ujian saringan Covid-19 selepas salah seorang kakitangannya diuji positif Covid-19.
Menyentuh mengenai perkembangan kesihatan kakitanganya yang disahkan positif, Sempurai memberitahu keadaannya bertambah baik.
“Syukur, beliau menunjukkan perkembangan status kesihatan yang sangat baik dan masih lagi dipantau di Hospital Sibu.





Sekitar nyahkuman di Majlis Daerah Luar Bandar Sibu

Suara Sarawak