S’wak antara lima teratas , catat pelaburan RM19.6B tahun lalu

KUCHING: Sarawak terus menjadi antara lima destinasi pelaburan teratas di Malaysia dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM19.6 bilion pada tahun lalu.

Walaupun negeri ini turut dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menzahirkan kegembiraan kerana dapat melihat Sarawak terus berada di antara lima destinasi pelaburan teratas di negara ini.

“Dengan perancangan strategi jangka panjang dan berpandangan jauh, Sarawak mempunyai pembeza persaingan yang jelas dan cadangan nilai yang ditawarkan untuk calon pelabur.

“Kami menyediakan tenaga yang boleh diperbaharui dan boleh dipercayai dengan harga yang kompetitif, infrastruktur penyambungan, infrastruktur pelaburan, dasar mesra perniagaan dan tenaga kerja yang kompeten dan terlatih,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis menandatangani Term Sheet antara Syarikat Sesco Berhad dan Malaysia Lng Sdn. Bhd, di Pejabat Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Suara Sarawak